Powered by Blogger.
 

Thursday 26 August 2010

Laporan JOM! Kasih Ramadhan 2010

0 comments

Alhamdulillah di atas kesempatan ini, satu lagi program yang dianjurkan oleh JOM! krew dapat juga dilaksanakan. JOM! krew juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih di atas sokongan anda semua yang tidak putus-putus. Segala kelemahan kami akan terus kami perbaiki dari masa ke masa.

Aktiviti JOM! Kasih Ramadhan 2010 ini telah di adakan di Rumah Jagaan & Rawatan Orang-orang Tua Al-ikhsan, Puchong, Selangor. Seramai 60 orang peserta & penasihat JOM! iaitu Dr. Abdul Latiff & isteri & Puan Siti Haniza & keluarga telah berkunjung ke pusat rawatan tersebut.




Perjalanan program JOM! Kasih Ramadhan bermula seawal jam 12.00 tengah hari, di mana para peserta diberikan taklimat ringkas mengenai pemeriksaan kesihatan. Kemudian para peserta memulakan program bersama orang-orang tua dengan beramah mesra & berkongsi cerita. Acara diteruskan lagi dengan pemeriksaan kesihatan oleh para peserta seperti pemeriksaan tekanan darah & kandungan gula dalam darah. Di kemuncak program, warga emas tersebut dihidangkan dengan jamuan berbuka puasa & solat terawikh secara berjemaah di surau tersebut. Di akhir program telah di adakan sesi bergambar sebagai kenang-kenangan.



Pekongsian kisah suka & duka oleh orang-orang tua tersebut, seharusnya diambil teladan oleh para peserta agar menjadi insan yang lebih prihatin dengan masalah ummat. Walau bagaimana pun, warga tua tersebut ternyata sungguh cekal & redha dengan dugaan yang dihadapinya kerana masih mampu tersenyum & melayan karenah anak-anak muda. Mereka tidak lokek dalam menyampaikan segala pengalaman yang dilalui mereka agar diambil iktibar oleh generasi muda.

Semasa pemeriksaan kesihatan pula, kebanyakkan dari mereka meunjukkan kesihatan yang baik. Namun begitu, terdapat juga beberapa orang tua yang menghidapi masalah tekanan darah & masalah kencing manis. Para peserta juga sentiasa diingatkan supaya sentiasa menjaga tutur kata supaya tidak mengguris jiwa warga tua yang sedia maklum, agak sensitif dengan kata-kata. warga-warga tua kelihatan penuh bersedia dengan pemeriksaan tersebut, kerana telah menjadi kebiasaan mereka mengambil darah & sebagainya.

Acara diteruskan lagi dengan majlis berbuka puasa, antara juadah yang disediakan adalah nasi beriani, ayam masak merah, daging masak hitam, acar buah, kuih muih & roti jala. Selesai berbuka puasa, acara seterusnya adalah solat terawikh berjemaah & pemeriksaan lanjut kesihatan oleh Dr. Abdul Latiff. Sebelum bersurai, buah tangan yang dibawa oleh para peserta telah diserahkan kepada Puan Muji untuk diagih-agihkan kepada penghuni rumah.


Kesimpulan dari program ini, para peserta telah mempelajari skil-skil berkomunikasi dengan lapisan masyarakat yang berbeza selain mendalami skil-skil perubatan. tambahan lagi, para peserta dianjurkan untuk memuhasabah diri dengan teladan-teladan yang diberikan oleh warga tua tersebut. akhir sekali, ucapan terima kasih ingin kami sampaikan kepada Puan Muji, yang sudi menerima kunjungan dari kami walaupun dikatakan sebagai rombongan terbesar ke pusat itu.

0 comments:

Post a Comment